11 November 2009

KCS KEDAH MERAJUK, PUSAT PERGILAH PUJUK...TOK SAH DOK MALU....

Bacalah artikel ini dulu..banyak saya nak cerita ni fasal artikel..tapi tidak ada masa lagi ni....memang tak tahan nak cerita fasal ini....walau bagaimanapun pandangan saya sebelum ini dalam blog ini memang selari dengan pandangan penulis artikel ini...kalau tak percaya selak-selaklah tengok blog saya yang terdahulu.....banyak lagi kisah-kisah KcS ini dalam blog saya yang lain...layarilah http://www.beritakcs.blogspot.com/ . TQ

asriredha
teratak kasih
alor setar

KCS Kedah merajuk, Pusat pergilah pujuk...

Oleh Zaini Hassan..Utusan Malaysia (11 November 2009)

MINGGU lepas saya berehat daripada menulis kolum ini, maka ramailah yang menghubungi saya bertanyakan mana pergi Cuit? Saya berkata saya mahu bebaskan fikiran saya daripada isu-isu yang tengah panas ketika itu

- dalam kain Pas yang sudah mulai terbuka sedikit demi sedikit, isu Dr. Asri - yang semalam dalam akhbar, khabarnya dia mahu masuk politik? Gambar beliau yang disiarkan dengan Nik Aziz mungkin memberi jawapannya? Isu bai'ah dalam Pas dan lain-lain lagi.

Pendek kata macam-macam isu di Malaysia ini. Lepas satu, satu. Ada yang berkata isu perpecahan Pas baru-baru ini yang dicuit oleh Prof. Dr. Aziz Bari 'sengaja' dibuat beliau bagi mengalihkan perhatian rakyat ketika itu daripada kemelut meruncing dalam PKR dan isu Anwar Ibrahim. Saya tidak tahulah sejauh mana hubungan akrab Aziz dengan Anwar dan PKR, tapi setelah tulisannya mengenai soal 'Team Hadi' dan 'Team Nik Aziz' dalam Pas itu meletup, maka isu dalam kain PKR sudah hilang dalam media. Maka selamatlah PKR (sebentar).

Percaya atau tidak, inilah kuasa media. Merekalah yang menggerakkan (maneuvering) sesuatu isu itu ke arah mana ia mahu dibawa. Media sebenarnya ialah 'agenda setter' (penentu agenda). Dalam kajian kewartawanan itulah pun antara peranannya. Tapi, media juga boleh dimanipulasi, jika orang yang mahu mempergunakannya itu bijak, seperti Aziz Bari (mungkin).

Namun, oleh kerana Malaysia ini penuh dengan warna-warninya, pembaca kita sebagai pembeli juga sebenarnya mahukan isu-isu seperti itu - sebagai modal bagi mereka berborak di kedai-kedai mamak malam nanti!

TOLAK ke tepi dulu soal itu, minggu ini, kita akan membincangkan satu isu yang serius melibatkan satu kumpulan perkhidmatan awam yang tertua di Malaysia. Ia adalah Perkhidmatan Tadbir Awam Negeri Kedah atau lebih terkenal dengan panggilan ringkas KCS (Kedah Civil Service).

Memetik kata-kata rakan penulis pak Kadir Jasin dalam blognya akadirjasin.blogspot.com/akadirjasin.com mengenai KCS ini, beliau berkata: "Ia diasaskan oleh kesultanan Kedah lama sebelum British kononnya membawa sistem pentadbiran awam ke Tanah Melayu. Sebab itulah taat setia kepada Raja menjadi tonggak KCS. Kalau zaman saya lepas sekolah dulu, jadi pegawai KSC gerenti dapat bini cantik. Semua nak jadi DO, ADO dan 'Raja Tanah' - Pegawai Pemungut Hasil Tanah."

Uniknya KCS ini, hanya anak negeri sahaja yang boleh menjawat jawatan dalam Perkhidmatan Awam Negeri Kedah. Kini dengan naiknya kerajaan Pas, maka soal lantikan, kenaikan pangkat, skim gaji dan peruntukan dikuasai oleh kerajaan baru itu. Selain Kedah, hanya tiga negeri lain yang mengamalkan sistem seperti itu iaitu Johor, Kelantan dan Terengganu. Lain-lain negeri pegawai-pegawainya adalah pegawai persekutuan atau PTD yang boleh ditukar di kalangan negeri-negeri tersebut atau balik ke Persekutuan.

Tahun ini KCS genap berusia 100 tahun. Sejak 100 tahun lalu, sehinggalah ke tahun lalu, ia berkhidmat di bawah kerajaan negeri yang menaungi Pusat dan Persekutuan.

Aliran pemikiran pegawai-pegawai KCS ini juga sealiran dan berkiblatkan Pusat dan Persekutuan, walaupun ia bukan pegawai yang didatangkan dari situ. Peruntukan atau arahan-arahan dari Pusat akan terus sampai kepada mereka untuk dilaksanakan.

Selepas pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, pegawai-pegawai KCS ini (tiba-tiba) berada di bawah pemerintahan yang didokong oleh parti pembangkang iaitu, Pas.

Pegawai-pegawai KCS itu kini berada dalam kecelaruan. Hubungan mereka dengan kerajaan Pusat telah terputus. Mereka semacam anak ayam kehilangan ibu. Masing-masing merasakan mereka sudah mulai terpinggir?

Perlu diingat peranan pegawai-pegawai ini amat penting kerana merekalah jentera yang turun ke bawah bertemu rakyat dan menyampaikan amanat kerajaan kepada rakyat. Hati pegawai-pegawai ini perlu dijaga, kebajikan mereka juga perlu dijaga. Bak kata pepatah moden ''jika penyapu yang diberi, maka penyapulah yang akan diterima.''

KCS ini amat strategik dari segi perancangan antara kerajaan (politik) dan pentadbiran awam. Jika orang politik (kerajaan) tidak menjaga mereka dengan baik, kuasa kakitangan awam ini boleh menentukan untung nasib kerajaan itu. Contohnya, menurut kajian bukan ilmiah, didapati jatuhnya negeri Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan ada kaitan sedikit sebanyak dengan peranan dan pengaruh kakitangan awam.

Dalam konteks Kedah, reaksi segera Pusat selepas kejatuhan negeri itu ialah ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi memastikan agihan dan projek pembangunan kerajaan Pusat dapat disalurkan tanpa ada diskriminasi atau diambil kesempatan oleh kerajaan negeri pembangkang.

Namun wujud satu senario yang serius di mana peranan KCS contohnya institusi yang dihormati rakyat, DO atau Pegawai Daerah (perlu disebut: DO ini juga ialah Pegawai Pengurus (RO) dalam satu-satu pilihan raya), Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan hubungannya dengan kerajaan Pusat seperti telah terputus.

Menurut seorang pegawai tinggi kerajaan Kedah: ''Baru setahun bertukar kerajaan, KCS seakan terpinggir, tidak dipedulikan lagi.''

Persepsi ini diburukkan lagi melalui tanggapan sesetengah wakil rakyat UMNO bahawa kononnya KCS kini mulai beralih arah dengan menyokong kerajaan pembangkang Pas. Walhal apa yang berlaku menurut pegawai itu ialah: ''pendekatan politik dan 'political engagement' antara UMNO, BN dan kerajaan Pusat dengan KCS kini jauh kosong dan menyebabkan KCS hilang arah.

''Orang UMNO dan BN dan Pusat mulai menjauhkan diri daripada kami dan bukan sebaliknya. Persepsi orang-orang ini adalah salah, meleset dan mengelirukan kerana sejak PRU 1959 sehingga 2008, keupayaan BN memerintah Kedah bukankah akibat dokongan dan hasil kerjasama dan sumbangan daripada KCS?

''Kenapa isu ini dialihkan, sedangkan faktor kekalahan BN dalam PRU 2008 adalah akibat sumbangan daripada banyak petunjuk-petunjuk lain,'' katanya kepada saya baru-baru ini.

Ternyata kekecewaan pegawai-pegawai KCS ini adalah nyata dan benar. Jika pihak-pihak tertentu tidak melakukan sesuatu dengan cepat, UMNO dan BN jangan harap untuk mendapatkan semula Kedah.

Contoh yang nyata ialah Kelantan. Selepas Pas memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum 1990, Perkhidmatan Awam Kelantan (Kelantan Civil Service) yang berkhidmat dengan setia selama 18 tahun di bawah BN diketepikan dengan tertubuhnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), sama seperti JPP di Kedah.

Hubungan pegawai-pegawai Kelantan dengan Pusat terputus sama sekali. JPP telah 'memutuskan' hubungan itu. Pegawai-pegawai awam Kelantan dianggap musuh kepada Pusat dan tidak boleh dipercayai lagi. Hasilnya, Pas kekal memerintah negeri itu 19 tahun sehingga kini.

Sebenarnya apabila kerajaan Pusat merasmikan bangunan baru Jabatan Pembangunan Persekutuan di Alor Setar tidak lama dulu, kerajaan Pas ketawa besar kerana mereka berasakan pegawai-pegawai KCS akan terputus hubungan sama sekali dengan Pusat. Itulah yang mereka mahu bagi membolehkan mereka memanjangkan tempoh pemerintahan negeri itu.

Pas Kedah sebenarnya belajar dari Kelantan. Apabila JPP ditubuhkan, secara automatik cengkaman mereka ke atas kakitangan awamnya menjadi lebih kuat. Perkhidmatan awam berdiri teguh di belakang kerajaan Pas dan menyerahkan taat setia kepada mereka. Pas sedar bahawa kuasa kakitangan awamlah yang akan menentukan kesinambungan pemerintahan mereka.

Oleh itu, UMNO dan BN haruslah berfikir caranya untuk menguasai semula hati pegawai-pegawai dan kakitangan KCS ini secara langsung dan tidak langsung.

Jika UMNO dan BN serta kerajaan Pusat dapat mencari satu pendekatan politik yang berhemah, tidak mustahil peranan KCS dapat dikembalikan sebagai 'kumpulan majoriti senyap' dan 'barisan hadapan' yang berpengaruh di kalangan rakyat setempat bagi mengembalikan semula pemerintahan negeri itu. Masanya masih ada, apa yang perlu dilakukan ialah fikirkan modus operandi dan kaedah pelaksanaannya - cepat!

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.