28 July 2009

Menikmati Keindahan Alam Sambil Bekerja

24 Julai 2009...Bukit Tinggi

Lama juga tidak pergi melancong dan berjalan-jalan dalam negeri. Nak harap melawat luar negara kurang sangatlah saya ni berbanding kawan-kawan junior yang lain. Tidak ada sapa yang sudi jemput ikut sekali. Mungkin fasal saya kerja banyak tempat di daerah saja kut. Dok teringin nak pi Eropah, Amerika Syarikat dan negara Timor Tengah..tapi tak kesampaian lagi sampai hari ini. Dah 23 tahun kerja.

Kali ini dapat peluang keluar dari negeri Kedah. Sekali-sekala dapat keluar dari Kedah ni rasa lega sikit. Bukan ada apa cuma kadang-kadang tu rasa tertekan juga duduk kat pejabat aje dengan seribu satu masalah yang tidak berkesudahan. Habis satu masalah, mai masalah lain pula, memang caca merba jadinya kerja di Pejabat Tanah. Apatah lagi kebanyakan masalah ini adalah kes-kes lama yang mana kalau ditangani dari awal rasanya senang saja penyelesaiannya, tapi bila sudah dibiarkan lama-lama jadi bertambah teroklah masalah tu..dengan pertukaran kakitangan, kecuaian, kehilangan fail-fail dan sebagainya .


Lawatan ini adalah mengambil kesempatan kunjungan rasmi Pasukan 'Task Force' Pegawai Kewangan Negeri Kedah ke Pejabat Kewangan Negeri Selangor DE, Shah Alam Selangor untuk meninjau tentang pengurusan kewangan negeri Selangor yang dikatakan salah satu negeri yang agak makmur juga dari segi sumber kewangannya. Saya turut dijemput sama untuk dengar dan lihat sendiri akan perkembangan yang berlaku di negeri Selangor terutama dari segi hasil-hasil kewangannya dan pengurusan kewangannya. Apatah lagi Selangor sekarang diperintah oleh Pakatan Rakyat dimana MBnya adalah seorang bekas tokoh koperat yang berjaya terutama dalam menggalakkan orang Melayu terlibat dalam pelaburan saham amanah melalui Amanah Saham Nasional/Bumiputera.



Bila mendengar taklimat mereka yang memaparkan segalanya, betullah seperti apa yang dijangka, memang Selangor hebat. Belanjawan Negerinya sahaja melebihi RM1.5 billion. Kemungkinan besar negeri ini sejak awal lagi telah membangun berbanding dengan negeri lain. Tumpuan pembangunan telah sejak awal lagi bertumpu di Lembah Kelang ini dan pembangunannya semakin rancak. Negeri ini juga mendapat pampasan yang banyak hasil dari penyerahan Kuala Lumpur yang dijadikan Wilayah Persekutuan disamping mendapat sumbangan yang besar hasil dari pembangunan Putrajaya dan Cyber Jaya..Pengurusan kewangannya mendapat Sijil Bersih selama 7 tahun berturut-turut.Ada banyak perkara-perkara baru yang boleh dipelajari oleh pasukan kami terutama dalam mendapatkan idea-idea baru sumber kewangan negeri.

Antara yang menarik dan wajar dipertimbangkan ialah dari segi pengurusan kutipan royalti bahan batuannya yang diswastakan kepada anak syarikat kerajaan negeri, memberi diskaun premium menggalakkan tuan tanah ubah jenis/syarat tanah disamping pertingkatkan penguatkuasaan langgar syarat kegunaan tanah, GLC diwajibkan membayar sejumlah peruntukan kewangan kepada kerajaan negeri, penubuhan pasukan penguatkuasa khas untuk menguatkuasakan lesen-lesen hiburan yang dipusatkan di Pejabat Kewangan Negeri, mengenakan denda-denda tambahan bagi kes-kes kelewatan membayar premium tanah, mengenakan bayaran permit khas bagi tanah-tanah yang digunakan bukan maksud yang dinyatakan, GLC dikehendaki beroperasi seperti syarikat perniagaan sepenuhnya tanpa ada apa-apa pengecualian dari segi cukai/premium tanah dan banyak lagi perkara-perkara baru yang boleh dijadikan panduan. Ini memerlukan forum lain untuk mengkaji dengan lebih mendalam.

Layanan mesra oleh kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Selangor yang diketuai oleh Dato' Pegawai Kewangan Negerinya membolehkan majlis perjumpaan ini berjalan lancar dan YB Dato' Hj. Mohd Puat Ali Pegawai Kewangan Negeri Kedah yang mengetuai pasukan task force ini amat menghargainya dan menjemput pula pegawai-pegawai dari Pejabat Kewangan negeri Selangor untuk bertandang ke negeri Kedah ini.

Selesai di Shah Alam, saya bertolak ke Bukit Tinggi, Pahang bersama keluarga. Saya dan keluarga tinggal di Hotel Colmar Tropical kepunyaan Syarikat Berjaya Group. Memang indah dan cantik hotel tersebut yang berkonsepkan suasana di Perancis. Tidak dapat pergi Perancis mai ke sinipun jadilah. Ditambah pula dengan alam persekitaran yang dingin dan hutan yang menghijau dengan pelbagai spesis hidupan.

Di sana ada satu lagi misi rasmi yang perlu dilaksanakan iaitu Mesyuarat Pentadbir Tanah Negeri Kedah. Sengaja diator oleh urusetia mengadakan mesyuarat tersebut di Pusat Peranginan ini yang jauh dari kecelaruan alam yang membosankan dan hiruk pikuk kota untuk berbincang sesama pegawai bagaimana lagi untuk mempertingkatkan prestasi pentadbiran tanah dinegeri Kedah. Sekali-kala berbincang ditempat-tempat seperti ini minda kita lebih lapang dan terbuka untuk menyuarakan apa-apa idea dan pandangan.

Waktu menulis coretan inipun masa duduk kat hotel tersebut. Saya tidak mahu panjang-panjang lagi nanti habis masa duduk dalam bilik hotel aje. Banyak benda nak buat lagi ni untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini.

kalau begitu saya mohon permisi dulu...nanti bila syehnya mai, saya akan pagut balik keyboard ni...





alor setar

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.