10 May 2009

TAHNIAH YAB DATO' SERI USTAZ AZIZAN, YB WIRA HJ RASLI & YB DAT0' HJ MOHD PUAT

Teratak Kasih: 10 Mei 2009
Asri Redha

Tanggal 6 Mei 2009 bertempat di Istana Anak Bukit telah berlangsung Istiadat Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (SUK) dan Pegawai Kewangan Negeri Kedah (PKN). Tahniah diucapkan kepada YB Dato' Seraja Setia Dato' Wira Hj Rasli b. Basir sebagai SUK dan YB Dato' Hj Mohd Puat b. Mohd Ali. Kedua-duanya memang berketrampilan dan mempunyai keupayaan tinggi dalam menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah ini. YB Dato Wira Hj Rasli memang telah sampai waktu dan gilirannya untuk menjadi SUK sepertimana yang dijangkakan. Semoga beliau berjaya memimpin pentadbiran kerajaan negeri Kedah ini dengan cemerlang dan juga memimpin kami Pegawai Tadbir Negeri Kedah yang masih memerlukan bimbingan dan asuhan beliau.

Yang agak mengejutkan ramai ialah pelantikan YB Dato Hj Mohd Puat b. Mohd Ali sebagai Pegawai Kewangan Negeri Kedah. Ianya tentu agak mengejutkan banyak pihak memandangkan ada lagi pegawai KCS yang lebih senior. Ramai yang mengidam-idamkan jawatan tersebut, namun bagi saya sejak awal lagi sudah menjangkakan Dato' Hj Puat ini mempunyai peluang yang cerah, dan telah terdetik dihati kecil saya pada waku Kerajaan Negeri diambilalih oleh Kerajaan Pakatan Rakyat bahawa beliau memang orang sesuai untuk dipilih ke jawatan yang penting itu. Dari cara pembawaan dan pendekatan yang dilaksanakan dalam bidang tugasannya telah nampak sikap profesionalnya yang tidak begitu terbawa-bawa dalam kekalutan mengejar pangkat dan sanjungan. Namun cara pendekatan beliau yang 'smart' dan sikap yang dibawa itu sebenarnya menarik perhatian peringkat tertinggi kerajaan dan seterusnya mencalunkannya sebagai Pegawai Kewangan Negeri dan KDYMM Tuanku Sultan Kedah juga telah memberi titah persetujuannya. Maka jadilah beliau seperti sekarang ini. Semoga beliau dapat menjalankan tugas beliau dengan penuh ketakwaan, keimanan, telus, ikhlas dan cekap.


Tahniah kepada YAB Dato' Seri Ustaz Azizan yang telah berjaya menerajui Kerajaan Negeri Kedah hampir setahun tanpa masalah besar. Setahu saya YAB Ustaz Azizan Abdul Razak memang amat mengenali keluarga saya di Sungai Limau dan keluarga YB Dato' Hj Mohd Puat secara mendalam terutama orang-orang Acheh di daerah Yan ini. Tok Nenek keluarga kami memang rapat dengan tok nenek keluarga YAB Ustaz Azizan malahan ada bau-bau bacang dengan beliau. Orang Acheh memang kental dan berani. Daerah Acheh di Pidie Indonesia memang terkenal dengan kehebatan orang Acheh berjuang. Boleh dikatakan setiap orang Aceh ada membawa pisau rencong untuk keselamatan diri dan membunuh orang Belanda jika berpeluang.

Saya sendiri dulu amat rapat dengan bapa saudara YAB Ustaz Azizan iaitu aruah Pak Teh Mat. (Beliau bekas Penghulu dan bekas Yang Berhormat). Pak Teh Mat ni orang kuat UMNO manakala anak saudaranya Ustaz Azizan kuat PAS. Walaupun begitu setahu saya hubungan kekeluargaan mereka amat rapat. Boleh dikatakan kawasan Sungai Limau semuanya ada hubungan adik beradik. Macam ada perjanjian kalau Pak Teh Mat jadi calun, orang Pas payah nak menang, tapi kalau letak orang lain, jangan harap nak menang. Abang saya Hj Radzi kawan rapat dengan YB Ustaz Azizan walaupun dia kuat UMNO. Begitu juga dengan isteri YAB Dato Seri , YABhg Tok Puan adalah satu kelas dengan Balakiah kakak saya di Sekolah Menengah Sultanah Asma dulu. Bila ada khenduri khendara adik beradik saya kat Sungai Limau maka pasti akan mai Ustaz Azizan. Tapi waktu tu YB biasa saja. Tak taulah la ni bila jadi YAB MB..

Keluarga Dato' Hj Mohd Puat ini bukan calang-calang juga keluarganya dimana seorang daripada bapa saudaranya pernah menjadi Ketua Polis Negara. saya juga ada hubungan keluarga dengan keluarga YB Dato' Hj Mohd Puat ini malahan ada adik-adiknya pernah bersekolah sekali dengan saya walaupun dilain kelas dan tingkatan di Sek Men Yan. Mungkin mereka sekarang dah tak ingat lagi saya, tapi saya masih ingat akan kisah-kisah masa di sekolah menengah dulu. Dato' Hj Mohd Puat juga pernah jadi guru sementara kat Sekolah Menengah Yan dulu dan pernah mengajar saya sekejap masa tingkatan 2. Saya juga pernah bertugas sebanyak 3 kali dibawah Dato' Hj Mohd Puat tapi tak lama iaitu di UPEN , MPSPK dan di Pejabat Daerah Langkawi.

Dari segi salasilah hubungan keluarga saya, bapa saudara nenek saya ada seorang anak  bernama Tok Lang Ibrahim telah berkahwin dan mendapat seorang anak perempuan (akupun tidak pasti nama apa, tapi itulah nenek Dato Hj Puat) dan anak perempuan ini telah berkahwin dengan Nyak Osman. Nyak Osman adalah orang Acheh yang tinggal sekampong dengan Tok Wan aku di Meunasah Blang Mee, Kampong Aree,di Kewedenaan Sigli Daerah Pidie,Acheh yang sama-sama merantau ke daerah Yan ini. Sebenarnya saya pun tidak pernah pergi lagi ketempat tu. Entahlah bila agaknya dapat peluang pergi kesitu nak tengok keturunan saya kat sana. Dengar kata ada banyak yang meninggal masa Ombak Tsunami lalu. Namun masih ada lagi saki baki keluarga saya kat sana, tapi kehidupan mereka dikatakan tidaklah semewah disini, masih lagi macam tahun 60 an dulu.

Ini bermakna Nenek saya (Aishah) adalah sepupu kepada (Nenek Dato Hj Puat) yang berkahwin dengan Nyak Osman . Nyak Osman mempunyai anak-anak yang sekadar saya ketahui namanya Tan Sri Mohd Amin yang pernah jadi Ketua Polis Negara dan Mohd Ali ( lebih mudah dikenali sebagai Ali Insuran) ayah kepada YB Dato' Hj Mohd Puat sekarang ini. Ayah beliau masih ada tetapi agak uzur juga dan sayapun lama tak pernah pergi ziarah beliau. Dulu-dulu dia memang kerap mai Sg Limau Dalam masa ayah dan ibu masih ada. Mereka memang rapat, kerana komuniti dari Acheh memang rapat apabila mereka berada diperantauan seperti di Sungai Limau Dalam dan Yan.  Apa-apa kejadian, kenduri-kendara dan sebagainya pasti sampailah beliau ke Sungai Limau Dalam.

Jadi bapa saya Allahyarham Hj Abdul Rahman Nyak Hussein adalah 2 pupu dengan bapa YB Dato' Hj Mohd Puat. Kiranya saya ni 3 pupulah dengan YB Dato' Hj Mohd Puat. Orang dulu-dulu walaupun 3 pupu atau 2 pupu memang rapat, tidaklah macam sekarang ni, sepupupun dah tak berapa nak kenal lagi. Seperti saya pernah cerita dalam blog sebelum ini dalam kalangan keluarga aku sendiripun walau pangkat sepupu dah ada yang tidak pernah tengok dan bertegor sapa...tak taulah dunia sekarang ni apa nak jadi...

Asri...tumpang seronok tengok orang berjaya.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana melayari blog saya. Komen anda pasti memberikan penambahbaikan kepada ilmu pengetahuan saya dan juga kepada paparan blog saya.